Hari ini sering saya lihat perkahwinan itu sesuatu yang memayahkan, menyusahkan dan membebankan. Ini kerana persepsi masyarakat itu sendiri. Berkahwin bila dah ada kerja tetap, bila dah ada rumah, kereta dan lain-lain. Tambahan pula si lelaki mengalami tekanan apabila keluarga pihak wanita meminta hantaran yang tinggi! Nak jual anak ke apa? Ada lelaki yang sudi untuk pelihara anak perempuanya pun dah dikira bersyukur.

Cuba kita fikir sejenak. Kita berkahwin menurut adat atau menurut islam? Jika anda berkahwin menurut adat, perkahwinan itu akan menjadi sesuatu yang sukar. Jika anda berkahwin menurut islam, dengan izin Allah perkahwinan itu sebenarnya sangat mudah tetapi tanggungjawab dalam perkahwinan itu yang besar, payah dan banyak bersabar.

Ingatlah juga, melalui perkahwinan itu akan menyebabkan rezeki lebih bertambah. Jika sebelum ini rezeki kita datang dari diri sendiri, tetapi bila dah berkahwin rezeki akan bertambah dengan bergabungnya rezeki suami, rezeki isteri dan rezeki anak-anak. Inilah keberkatan dalam sesebuah perkahwinan. Suami isteri yang menjalankan perniagaan bersama-sama, insyaAllah perniagaan mereka lebih mudah dan lancar seperti Saidatina Siti Khadijah dan Nabi Muhammmad S.A.W.

Mari kita lihat satu kisah sebuah perkahwinan pada zaman Rasullulah.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW telah didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki ini mengaku dirinya seorang yang miskin. Kemudian ia meminta jalan keluar agar terlepas dari belengu kemiskinan. Tanpa berlenggah lagi, Rasulullah SAW terus menyuruh lelaki tersebut supaya berkahwin. Lelaki tersebut sangat gembira dengan saranan yang diberikan Rasulullah. Dengan keyakinan yang mantap, akhirnya lelaki itu berkahwin.

Setelah sekian lama berkahwin, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah dan mengadukan nasibnya,

“Ya Rasulullah! Aku telahpun berkahwin, tetapi masih dalam keadaan miskin. Apa yang harus aku lakukan wahai Rasulullah?”. “Kahwin lagi,” jawab Rasulullah singkat. Si lelaki tersebut tidak banyak bertanya.

Beliau mempercayai Rasulullah SAW sepenuhnya kerana tidak mungkin Rasulullah mahu menipu umatnya. Akhirnya lelaki itu berkahwin lagi dengan gadis lain.

Namun beberapa waktu kemudian lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah dan mengadukan masalahnya : “Wahai Rasulullah, isteriku sudah dua pun dua orang, tapi aku masih tetap miskin, bagaimana ya Rasulullah…?” keluh lelaki itu.” Kahwin lagi,” jawab Rasulullah singkat. Hati lelaki itu berasa senang apabila mendengar jawapan Rasulullah. Kemudian beliau berkahwin buat kaliketiga.

Namun setelah beberapa lama, keadaan tetap juga belum berubah. Mulanya ia berasa malu untuk mengadu kepada Rasulullah, tapi apakan daya ia masih tetap miskin. Dengan berat hati, beliau menemui Rasulullah dan menyampaikan masalahnya. “Wahai Rasulullah, engkau telah menyuruhku menikah untuk ketiga kalinya, tapi aku tetap miskin. Sekarang apa yang harus aku lakukan? “, adu lelaki itu. “Berkahwinlah lagi,”kata Rasulullah. Akhirnya si lelaki itu menikah buat kali keempat.

Ternyata benarlah segala kata-kata Rasulullah. Ternyata isteri keempatnya ini membawa keberkatan perkahwinan di dalam kehidupannya. Dengan kepandaiannya menenun, ia mengajar kemahiran tersebut kepada ketiga-tiga madunya. Akhirnya usaha tersebut mendatangkan keuntungan dan kekayaan. Perusahaan industrinya semakin maju dan mampu mencukupi keperluan rumahtangga lelaki itu serta isteri-isterinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Carilah rezeki dengan menikah” (Riwayat Ibnu Abbas)

Firman Allah SWT yang bermaksud: ” Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. ” (Surah an-Nur : 32)

Jika anda nak rezeki bertambah, berkahwinlah dan dari keberkatan rezeki pasangan masing-masing akan menyebabkan rezeki anda akan bertambah dengan izin Allah.

2,042 total views, 1 views today